Kuala Lumpur: Penetapan had minima usia 13 tahun bagi pengguna media sosial dilihat wajar kerana ia berisiko menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti ketagihan, depresi dan kurang yakin dengan diri pada usia muda. Biarpun penggunaan gajet mendominasi sebahagian besar rakyat negara ini sejak beberapa tahun lalu, penggunaan media sosial perlu dipantau secara aktif bagi memastikan objektif penggunaannya tercapai.

Biro Komunikasi Awam CyberSecurity Malaysia Community (rawSEC) Emma Rahim berkata, pengkhususan gajet sebagai fungsi pembelajaran secara khusus juga dapat membantu anak-anak daripada lalai dan membuang masa begitu saja. Menurutnya, antara inisiatif yang boleh diambil termasuklah membuat ketetapan di aplikasi seperti Google Family Link bagi mengelakkan anak-anak berusia di bawah 13 tahun daripada memuat turun TikTok, Instagram, atau Facebook.

“Gunakan tetapan kanak-kanak yang disediakan dalam gajet. Tetapan ini menawarkan pilihan yang boleh disesuaikan untuk mengehadkan ciri-ciri tertentu atau kandungan berdasarkan usia dan tahap kematangan kanak-kanak.

“Ia memberikan gambaran keseluruhan kepada ibu bapa mengenai aktiviti digital anak-anak mereka.

“Aplikasi ini mudah digunakan dan anda boleh memahami bagaimana anak anda menghabiskan masa mereka, berkongsi lokasi, menguruskan tetapan privasi dan membolehkan anda memberi keseimbangan yang tepat untuk keluarga anda.

“Aplikasi ini juga membolehkan ibu bapa untuk menolak muat turun aplikasi yang mempunyai had minima umur seperti media sosial,” katanya.

Beliau mengulas saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia di bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini kerana MCMC mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial. Mengulas lanjut, Emma berkata, ibu bapa dan ahli keluarga juga perlu mengamalkan komunikasi terbuka dengan anak-anak mengenai penggunaan gajet mereka.

“Bincangkan keselamatan dalam talian, buli siber, dan kepentingan melaporkan sebarang bahan yang tidak sesuai untuk umum.

“Jadilah contoh untuk penggunaan gajet yang bertanggungjawab. Kanak-kanak sering meniru tingkah laku ibu bapa, jadi tunjukkan tabiat skrin yang sihat dengan mengehadkan masa skrin sendiri dan memberi keutamaan kepada interaksi dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa menetapkan semakan berkala untuk meninjau aktiviti digital anak-anak dan menangani sebarang kebimbangan atau isu yang mungkin timbul. Menurutnya, ia dapat membina kepercayaan dan membolehkan penyesuaian berterusan kepada pendekatan pemantauan.

“Teruskan memperoleh maklumat mengenai trend terkini, aplikasi, dan risiko dalam talian. Ini membolehkan anda menyesuaikan strategi pemantauan kepada landskap digital yang berubah.

“Dengan melaksanakan langkah-langkah pemantauan yang berkesan, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka menikmati faedah gajet sambil kekal selamat dan bertanggungjawab dalam dunia digital,” katanya.

Wajar hadkan minima usia pengguna media sosial – Harian Metro