Tragedi dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas, baru-baru ini meninggalkan kesan bukan
saja kepada ahli keluarga, angkatan tentera dan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. Ia berlaku ketika TLDM sedang bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-90 dan tentunya ia adalah kejadian yang tragis, mengundang
netizen mengutuskan salam takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga.
Namun begitu, tindakan beberapa individu yang menjadi jaguh papan kekunci mempersenda kematian wira negara selain memberikan beberapa ‘teori’ tanpa pengesahan pihak berautoriti amat dikesali.
Penolong Pengarang Berita YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Sekretariat Perhubungan Awam, Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (rawSEC), EMMA RAHIM untuk mengulas mengenainya dalam Kafe Ahad minggu ini.
Bagaimana rawSEC melihat isu mempermain dan mempersenda kematian dalam nahas helikopter TLDM baru-baru ini?
Isu mempermainkan dan mempersendakan kematian dalam nahas helikopter dengan pelbagai reaksi yang diperlihatkan dari media sosial baru-baru ini adalah perilaku yang tidak beradab dan tidak patut dilakukan oleh masyarakat timur yang sentiasa disanjung kerana memiliki nilai-nilai ketimuran, budi bahasa, dan adab sopan yang tinggi. Tindakan tersebut tidak menghormati tragedi yang telah mengorbankan nyawa. Walaupun lebih ramai yang menggunakan platform media sosial untuk memberi takziah dan penghormatan terakhir kepada mangsa, masih terdapat segelintir pihak yang menggunakan platform itu untuk bergurau senda dan tidak mempedulikan sensitiviti keluarga mangsa.
Secara umum, bagaimana media sosial digunakan secara salah oleh masyarakat di negara ini sehingga hilang sensitiviti sebegitu?
Media sosial sering kali disalahgunakan apabila masyarakat terlalu terpesong dengan tindakan emosi dan tergesa-gesa untuk berkongsi maklumat tanpa menyemak kesahihannya. Segelintir rakyat Malaysia cenderung untuk menggunakan sosial media secara berlebihan dan secara tidak langsung merumitkan
keadaan. Ini boleh mengakibatkan penyebaran maklumat palsu, persepsi yang tidak tepat, atau kehilangan sensitiviti terhadap isu-isu yang penting seperti kematian atau tragedi.
Apakah peruntukan undang-undang sedia ada tidak cukup berat sehinggakan begitu mudah hantaran jelek dimuat naik?
Peruntukan undang-undang yang sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk mengatasi kesan negatif penggunaan media sosial, termasuk hantaran jelek. Ini boleh disebabkan cabaran teknologi yang berterusan, kecekapan undang-undang yang rendah, atau ketidakseimbangan antara kebebasan bersuara dan
perlindungan terhadap pengguna. Pada masa ini, kerajaan sedang merangka akta untuk buli siber bagi menangani masalah-masalah seperti ini.
Apakah saranan rawSEC kepada kerajaan khususnya dalam mengatasi isu hantaran jelek?
Untuk mengatasinya, kerajaan haruslah
menambah baik undang-undang sedia ada untuk memastikan hukuman yang sesuai bagi mereka yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak sensitif, peningkatan kesedaran awam mengenai kesan negatif media sosial, dan kerjasama dengan pemilik platform media sosial untuk menguatkuasakan dasar dan garis panduan yang lebih ketat.
Akta buli siber yang masih dirangka harus merangkumi hukuman kepada mereka yang terbukti bersalah dalam penyebaran maklumat palsu atau tulisan tidak sensitif ini. Kerajaan, melalui Kementerian Pendidikan juga boleh menerapkan pendidikan awal kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi mengenai penggunaan media sosial secara berhemah. Populasi terkini penduduk Malaysia adalah 33 juta. Sementara itu, jumlah pengguna media sosial mencapai 28 juta. Angka ini merangkumi sebahagian besar, iaitu 84 peratus, daripada populasi negara. Perlu diingat bahawa pengguna media sosial
tidak hanya terdiri daripada orang dewasa, tetapi juga remaja dan kanak-kanak. Walaupun had umur bagi kebanyakan platform media sosial adalah 13 tahun,
kita sedar bahawa terdapat sebilangan besar individu di bawah umur 13 tahun yang menggunakan aplikasi seperti TikTok terutamanya.
Berbeza dengan aplikasi perbankan atau e-wallet yang memerlukan pengguna untuk membuat e-KYC (electronic Know-Your- Customer) atau kenali pelanggan, di mana pengguna hendaklah menunjukkan kad identiti dan gambar semasa, platform media sosial tidak mempunyai saringan berkenaan.
Pengguna hanya perlu memasukkan tarikh lahir mereka, membolehkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun memuat turun aplikasi itu, memasukkan tarikh lahir palsu, dan terus menggunakan platform itu. Walaupun pelbagai gesaan diberikan kepada ibu bapa agar tidak membenarkan anak-anak kecil menggunakan platform media sosial, masih ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menggunakannya. Oleh itu, pendidikan mengenai tanggungjawab dalam media sosial harus sentiasa ditekankan. Ia tidak perlu menjadi salah satu modul atau subjek, tetapi boleh ditekankan melalui seminar atau perhimpunan harian di sekolah. Ini penting untuk memastikan generasi muda kelak memiliki jati diri dan disiplin yang teguh.
Ada netizen mencadangkan untuk menyenaraihitamkan pengguna media sosial yang terbukti tidak beretika. Adakah ia wajar?
Idea untuk menyenaraihitamkan pengguna media sosial yang tidak beretika mungkin menimbulkan beberapa pertimbangan etika dan praktikal. Sementara ia boleh menjadi langkah untuk memperingatkan atau menghalang tingkah laku tidak diingini, ia juga mungkin menimbulkan risiko penyalahgunaan dan penindasan terhadap kebebasan bersuara. Oleh itu, perlu ada keseimbangan yang baik antara menggalakkan pertanggungjawaban dan menjaga kebebasan individu dalam persekitaran siber.
Undang-undang sedia ada tak cukup berat – Harian Metro